Akaun penyangak dibekukan

ALOR SETAR – Sebanyak RM17 juta daripada hampir 30 rangkaian akaun sindiket penyelewengan petrol dan diesel berjaya dibekukan melalui Operasi Diesel dan Petrol 1 North (OD1N).

Salah satu tempat yang disyaki menjalankan aktiviti penyelewengan diesel dan petrol bersubsidi disita oleh penguat kuasa KPDNKK, di Simpang Empat, Alor Setar, semalam.

Salah satu tempat yang disyaki menjalankan aktiviti penyelewengan diesel dan petrol bersubsidi disita oleh penguat kuasa KPDNKK, di Simpang Empat, Alor Setar, semalam.

OD1N yang dilaksanakan kelmarin turut melibatkan rampasan diesel dan petrol dianggarkan mencecah RM1.5 juta dan wang tunai RM850,000.

Pengarah Penguatkuasa KPDNKK, Mohd Roslan Mahayudin berkata, pemilikan akaun yang dibekukan itu terdiri daripada akaun individu dan syarikat oleh Bank Negara dan melalui akta yang diperuntukkan selepas siasatan oleh pelbagai agensi.

Beliau berkata, ia juga menghasilkan enam kes disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Cukai Pendapatan, Akta Kastam, Akta Perkhidmatan Perniagaan Wang 2011 serta  Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

“Kesalahan yang dikesan dalam operasi ini ialah melanggar syarat -syarat lesen, menyimpan diesel atau petrol di tempat tidak dilesenkan dan menggunakan alat sukat yang tidak ditentusahkan,” katanya pada sidang media di pejabat KPDNKK Kedah di sini, semalam.

Menurutnya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menahan seorang wanita dalam lingkungan 40-an dipercayai melakukan kesalahan bawah Akta SPRM.

“Kebanyakan tindakan dan  kesalahan yang kami ambil tidak memerlukan tangkapan. KPDNKK mengambil kenyataan daripada mereka yang disyaki untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, OD1N memberi tumpuan kawasan perindustrian dan sempadan negara membabitkan Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

“Kita tumpu di kawasan yang sering menerima aduan kegiatan ini seperti Kawasan Perindustrian Seberang Perai, Bukit Kayu Hitam dan Padang Besar.

Mohd Roslan berkata, operasi kali pertama itu melibatkan KPDNKK bersama Pasukan Petugas Khas Jabatan Peguam Negara dengan 100 anggota dari pelbagai agensi.

Ia membabitkan Bank Negara, SPRM, polis, kastam, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Cyber Security.

“Mereka yang didapati bersalah bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi orang perseorangan boleh didenda RM100,000 atau tiga tahun penjara, manakala bagi syarikat denda RM250,000.

“Kesalahan bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 pula boleh didenda RM2,000,” katanya.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.