AirAsia Sebabkan Kesesakan Di LCCT

AirAsia-Sebabkan-Kesesakan-Di-LCCT-565x423KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen mendakwa punca kesesakan luar biasa orang awam di Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) di Sepang kelmarin adalah disebabkan oleh pengurusan syarikat penerbangan AirAsia.

Ketua Pengarahnya Datuk Aloyah Mamat berkata kesesakan berlaku disebabkan keengganan AirAsia berpindah ke terminal baharu di KLIA2 pada Jumaat lepas dan mahu kekal di LCCT sehingga 9 Mei manakala syarikat penerbangan lain telahpun berpindah.

Katanya Jabatan Imigresen bersama agensi-agensi lain telah mengadakan beberapa perbincangan dengan pihak penerbangan yang terlibat berhubung jangkaan kesesakan jika agensi-agensi kerajaan terpaksa beroperasi di kedua-dua lapangan terbang iaitu di LCCT dan di KLIA2.

“Pada masa yang sama kerana pegawai Imigresen terpaksa dipecahkan kepada dua kumpulan dan berdasarkan arahan pembukaan KLIA2 pada Jumaat lepas, sebahagian pegawai Imigresen yang bertugas di LCCT serta peralatan telah dipindahkan ke KLIA2,” katanya.

Beliau berkata sebelum pembukaan KLIA2, jumlah kaunter imigresen yang beroperasi di LCCT adalah sebanyak empat kaunter dan tiga ‘autogate’ bagi warga tempatan dan 22 kaunter untuk pelawat asing.

Aloyah berkata disebabkan jabatan itu beroperasi di kedua-dua terminal, kaunter pemeriksaan Imigresen bagi kaunter pelawat asing di LCCT dikurangkan kepada 11 kaunter sahaja.

Katanya secara keseluruhannya, 60 peratus pegawai Imigresen masih kekal di LCCT untuk menguruskan penumpang daripada penerbangan AirAsia dan hanya 40 peratus sahaja dipindahkan ke KLIA2.

Sehubungan itu, beliau berharap perkhidmatan kaunter Imigresen dapat beroperasi sepenuhnya dan akan kembali seperti biasa serta dapat mempertingkatkan kemudahan tanpa menjejaskan pemeriksaan dan kawalan negara selepas semua penerbangan beroperasi di KLIA2 pada Jumaat ini.

Beberapa portal berita dan laman sosial kelmarin melaporkan kesesakan di kaunter Imigresen di LCCT yang menyebabkan ramai penumpang terpaksa menunggu untuk tempoh lama. – BERNAMA

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.