Air selut melimpah ke jalan raya

GUA MUSANG – Air berlumpur dari hakisan bukit berhampiran simpang tiga bandar baru yang melimpah ke Jalan Pulai Lama, di sini, setiap kali hujan lebat membahayakan keselamatan pengguna.

Air berlumpur memenuhi permukaan jalan raya apabila hujan lebat.

Air berlumpur memenuhi permukaan jalan raya apabila hujan lebat.

Berikutan itu, pengguna jalan terbabit meminta pihak berkenaan mengambil tindakan segera untuk membina perparitan bagi mengatasi masalah itu.

Mereka bimbang jika tindakan tidak diambil mungkin ada pengguna terdedah kepada risiko kemalangan kerana terpaksa merempuh takungan air hujan berlumpur itu.

Seorang pengguna, Harun Husin, 51, berkata, keadaan itu berlaku disebabkan tepi jalan berkenaan tidak mempunyai longkang atau parit menyebabkan air hujan bersama lumpur mengalir ke permukaan jalan.

Menurutnya, jalan terbabit yang  menjadi laluan penting pengguna untuk ke Kampung Pulai dan Batu Papan kerap berdepan masalah berkenaan.

“Pihak berwajib sewajarnya memberi perhatian serius terhadap perkara ini kerana banyak kenderaan yang melalui jalan terbabit hampir terbabas.

“Saya sendiri juga kerap berdepan dengan kejadian cemas itu, tetapi bersyukur kenderaan yang dipandu dapat dikawal dengan baik,” katanya.

Muhammad Fauzi Kadir, 35, pula berkata, sekarang musim hujan dan setiap petang berlaku limpahan air dari bukit berhampiran menyebabkan pengguna berdepan risiko kemalangan.

“Walaupun belum ada kejadian tidak diingini berlaku, pihak berkenaan sepatutnya mengatasinya segera supaya pengguna rasa selamat menggunakan jalan terbabit.

“Masalah itu bukan baru, tetapi berlaku sejak awal tahun ini lagi kerana ada pemaju perumahan yang membangunkan tanah di kawasan berkenaan,” katanya.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.