39 syarikat ikrar serap GST, kekal harga

image (27)
KANGAR – Sebanyak 39 syarikat, sehingga kini, telah berikrar untuk menyerap Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan mengekalkan harga asal produk mereka.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hasan Malek berkata sebilangan syarikat terbabit juga berjanji menurunkan harga produk mereka setelah menyerap GST.
“Ikrar syarikat-syarikat ini adalah tanda positif pelaksanaan GST dan saya yakin lebih banyak lagi syarikat akan mengikut langkah 39 syarikat tersebut,” katanya.
Hasan bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Pembangunan Keusahawanan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) 2015 peringkat negeri di sini, hari ini.
Katanya aduan berkaitan kesalahan GST sejak dilaksanakan 1 April lepas terhadap peniaga semakin menurun manakala pengetahuan pengguna terhadap hak mereka juga bertambah baik.
“Sebanyak 70,265 pemeriksaan dan penguatkuasaan dibuat di seluruh negara sehingga semalam. Semalam sahaja sebanyak 6,732 tindakan dilaksanakan berbanding 7,069 pada hari Khamis iaitu penurunan sebanyak lima peratus,” katanya.
Hasan berkata, daripada jumlah itu 481 premis diberi notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan dan 190 kes lagi dikenakan tindakan lanjut.
Katanya barangan yang dirampas pula bernilai kira-kira RM37,000 manakala kompaun yang dikenakan berjumlah RM28,700.
Ketika berucap merasmikan program itu, beliau berkata persepsi orang ramai mengenai GST bertambah baik walaupun masih ada segolongan yang menentang atas kepentingan politik.
Katanya kerajaan juga merancang memberi pinjaman mudah tanpa faedah sebagai modal kepada peniaga yang berhasrat berniaga pada bulan Ramadan tahun ini seperti yang diberi pada tahun lepas berjumlah RM45 juta.
Turut hadir pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri Datuk Sabry Ahmad, Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Alias Ahmad dan Ketua pegawai Eksekutif SSM, Zaharah Fenner. – Bernama

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.