25 peniaga terima hakikat gerai perlu dirobohkan

SEGAMAT – Seramai 25 peniaga Melayu yang terlibat dalam projek pembinaan leburaya Segamat-Tangkak terpaksa merelakan premis perniagaan mereka dirobohkan penguatkuasa Pejabat Tanah Daerah (PTD) Segamat, semalam.

Zakaria (kanan) berbincang dengan penguatkuasa Pejabat Tanah Daerah Segamat, semalam.

Zakaria (kanan) berbincang dengan penguatkuasa Pejabat Tanah Daerah Segamat, semalam.

Salah seorang peniaga kedai runcitnya dirobohkan, Zakaria Othman, 70, berkata, dia tidak menghalang kerja pihak berkuasa kerana sedar tanah diusahakan selama ini adalah milik kerajaan.

“Pagi ini (semalam) saya berniaga seperti biasa dan bila penguatkuasa datang untuk merobohkan kedai, saya merelakannya tetapi sebelum itu meminta pertolongan mereka untuk membawa keluar semua barang perniagaan.

“Saya sudah berniaga di sini selama 15 tahun selepas bersara sebagai guru agama dan mungkin tindakan ini (roboh) adalah perkara yang terbaik untuk kemajuan pembangunan di daerah ini. Mungkin juga ada rezeki lain selepas ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Zakaria berkata, dia juga telah mendirikan sebuah pondok sementara berhampiran kawasan kedai lamanya yang tidak terlibat dengan pembinaan dan bercadang untuk berniaga di tapak berkenaan untuk sementara waktu selepas mendapat kelulusan daripada pihak berwajib.

Sementara itu, jurucakap Pejabat Tanah Daerah Segamat berkata, operasi selama dua hari bermula kelmarin dan berakhir semalam mendapat kerjasama daripada beberapa agensi kerajaan seperti polis, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Syarikat Air Johor Holding (SAJH), dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Tiada sebarang gangguan atau sebarang perkara yang tidak diingini semasa kerja meroboh dijalankan. Cuma, kelmarin ada beberapa orang peniaga yang memohon supaya kedai mereka dirobohkan hari ini (semalam) disebabkan masalah pendawaian dan sebagainya dan ada di antara mereka ingin memindahkan barang mereka terlebih dahulu,” katanya.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.