2 budak cedera diserang beruk

TAIPING – Dua kanak-kanak cedera selepas diserang seekor beruk jantan dalam dua kejadian berasingan berhampiran kawasan kaki Bukit Larut, di sini, kelmarin.

Beruk yang dipercayai mencederakan dua kanak-kanak.

Beruk yang dipercayai mencederakan dua kanak-kanak.

Beruk dewasa berusia lingkungan lima tahun itu dikesan berkeliaran setelah dipercayai dilepaskan tuan peliharaannya sejak Selasa lalu.

Dalam kejadian pertama kira-kira jam 4.30 petang itu, seorang kanak-kanak berusia 10 tahun menjadi mangsa gigitan haiwan berkenaan.

Seorang saksi, P Muthu Kumar, 52, berkata, ketika kejadian, mangsa berjalan bersama ibunya dan secara tiba-tiba beruk terbabit menerkam serta menggigit kaki mangsa.

Menurutnya, melihat orang ramai mula mengerumuni kanak-kanak itu, beruk berkenaan secara tiba-tiba mengamuk dan bertindak agresif serta memecahkan pasu bunga yang terdapat di kawasan tersebut.

“Ini adalah kejadian pertama berlaku sejak 17 tahun saya bekerja sebagai penjaga kawasan Pusat Peranginan Bukit Larut ini.

“Kawasan ini memang banyak monyet, namun saya percaya beruk ini adalah haiwan peliharaan kerana pada bahagian kakinya terdapat tali yang masih terikat,” katanya.

Sehari selepas insiden itu, beruk sama dikatakan menyerang seorang lagi kanak-kanak berusia sembilan tahun yang ketika itu berjoging bersama ibunya, kira-kira jam 7.20 pagi.

Seorang saksi, R Rama, 50, berkata, beruk berkenaan dikatakan sudah dilihat agresif sejak awal pagi dan dia tidak menduga haiwan itu akan menyerang orang ramai yang berada di kawasan tersebut.

“Sejak awal saya perhatikan haiwan itu seolah-olah mahu mencari mangsa untuk diserang, mujur kanak-kanak berkenaan tidak cedera teruk kerana sempat diselamatkan ibunya,” katanya.

Rama berkata, sebahagian pekerja di kawasan itu berkawal menggunakan kayu untuk menakutkan haiwan berkenaan.

Dia tidak menolak kemungkinan sikap pengunjung yang gemar memberi makanan kepada haiwan di situ menyebabkan ia jinak dan tidak takut dengan manusia.

Difahamkan, bimbang dengan keselamatan pekerja dan pengunjung, pihak pengurusan menghubungi Jabatan Perhilitan yang akhirnya menangkap beruk berkenaan menggunakan ubat pelali.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah ketika dihubungi memaklumkan, sehingga kini tiada laporan berhubung serangan beruk diterima.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.