16 tahun terpaksa hidup bergelap

Awang Soh terpaksa menggunakan pelita minyak tanah untuk mengajar anak-anaknya mengaji al-Quran kerana tidak mampu menanggung kos pemasangan bekalan elektrik.

Awang Soh terpaksa menggunakan pelita minyak tanah untuk mengajar anak-anaknya mengaji al-Quran kerana tidak mampu menanggung kos pemasangan bekalan elektrik.

GUA MUSANG – Sebuah keluarga miskin di Kampung Jerek Dalam, Bertam, dekat sini, mendakwa telah 16 tahun hidup bergelap berikutan tidak berkemampuan untuk menampung kos pendawaian dan deposit elektrik.

Awang Soh Mamat, 72, berkata, dia sudah beberapa kali merujuk masalah kemiskinan keluarganya kepada pemimpin tempatan, namun sehingga kini belum mendapat perhatian yang diharapkan.

Menurutnya, keadaan itu membangkitkan kesedihan kepada dia, isterinya, Jang Awang Besar, 49, serta dua anak mereka yang mana salah seorang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Dua anak saya kerap mengeluh kerana terpaksa bergelap dan tak pernah rasa suasana malam yang disinari cahaya lampu. Saya juga semakin uzur berikutan faktor usia dan tak mampu lagi bekerja.

“Kami sekeluarga hanya berharap kepada pendapatan isteri saya yang mengambil upah menoreh getah, sekitar RM300 sebulan. Sekadar cukup belanja makan,” katanya ketika ditemui di rumahnya kelmarin.

Awang Soh memberitahu, isterinya pernah ke pejabat cawangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Bandar Gua Musang sebelum ini untuk bertanya mengenai kos deposit elektrik.

Katanya, pihak TNB memaklumkan sebanyak RM1,000 diperlukan sebagai deposit elektrik dan ia terlalu tinggi buat mereka sekeluarga.

“Kerana itu isteri saya terpaksa pulang dengan tangan kosong dan sehingga kini kami belum mampu menyediakan wang sebanyak itu. Terpaksalah kami terus guna pelita minyak tanah termasuk untuk ajar anak-anak mengaji al-Quran.

“Walaupun pakcik ada terima bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun tetap tidak mampu untuk sediakan deposit bagi pemasangan bekalan elektrik,” katanya.

Tambahnya, anaknya yang berstatus OKU, Che Mat, 14, masih belajar di kelas pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Jerek, manakala seorang lagi anaknya, Che Ramli, 11, kini berada di darjah lima sekolah sama.

“Pakcik sudah buntu untuk memikirkan bagaimana mahu mendapatkan bantuan kemudahan elektrik kerana masalah kesihatan pakcik sendiri menjadi kekangan,” katanya.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.