13 anggota tentera kemalangan

image (6)KAMPAR – Seramai 13 anggota tentera termasuk pegawai dari Kem 2 Woksyop Briged Jalan Tambun Ipoh terbabit dalam kemalangan melibatkan sebuah kenderaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kilometer 9.4 Kuala Dipang-Chenderiang, Kampung Sahom, di sini pagi, semalam.

Daripada jumlah itu, tiga adalah wanita, masing-masing berusia antara 22 hingga 44 tahun.

Dalam kejadian jam kira-kira 7.50 pagi itu, trak ATM yang dipandu seorang anggota berpangkat Koperal  dalam perjalanan menuju ke Lata Kinjang untuk menjalani latihan Jalan Laju 15 Kilometer.

Bagaimanapun, setibanya di lokasi kejadian, pemandu trak tersebut cuba mengelak sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang secara tiba-tiba masuk ke laluannya.

Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon berkata, akibatnya, trak berkenaan terbabas di bahu jalan dan melanggar tiang elektrik sebelum terbalik di dalam parit sebelah kiri jalan.

“Kemalangan itu menyebabkan dua penumpang belakang trak tersebut iaitu Sarjan Tun Normiza Azis, 32, dan Staff Sarjan Mohd Nizam Md Zain, 41, cedera parah masing-masing akibat patah tulang rusuk kiri.

“Manakala, empat yang lain iaitu Sarjan Jamilah Ahmad, Sarjan Mohd Hafiz Ali, Pegawai Waran II Sairol Azil bin Mat Khir dan Pegawai Waran II Mohd Zahrul Hisham Abdullah hanya mengalami cedera ringan.

“Mereka yang cedera dihantar ke Hospital Kampar untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, tujuh anggota lain masing-masing berpangkat Kapten, Leftenan, Sarjan, Koperal, Lans Koperal dan Prebet tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Berikutan itu, kes disiasat di bawah Sek 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa,” katanya.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.