12 jam menyorok bawah pukat

PASIR PUTEH – Tindakan tiga warga Vietnam menyorok di bawah timbunan pukat bersama guni berisi beras dan bawang bagi mengelak ditahan pihak berkuasa tidak memberi apa-apa makna selepas mereka dikesan ketika anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) membuat pemeriksaan penuh ke atas bot yang ditahan kelmarin.

Bot yang ditahan bot Penyelamat 7 APMM dibawa ke Jeti Operasi Tok Bali untuk pemeriksaan.

Bot yang ditahan bot Penyelamat 7 APMM dibawa ke Jeti Operasi Tok Bali untuk pemeriksaan.

Mereka yang berusia dari 21 hingga 32 tahun itu dikatakan menyorok selepas bot yang mereka naiki bersama tujuh lagi nelayan ditahan Bot Penyelamat 7 diketuai Bentara Muda Ismail Yaacob pada jarak kurang satu batu nautika dari Tok Bali kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim Kelantan, Kepten Maritim Wan Burhanuddin Jusoh berkata, mereka hanya ditemui 12 jam kemudian ketika penggeledahan penuh dilakukan dan mereka tidak makan dan minum sepanjang tempoh itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiga warga Vietnam itu tidak mempunyai dokumen sah sebagaimana dimiliki tujuh nelayan atas bot sama, kita juga mendapati ada petak ikan yang langsung tidak dibuka.

“Mereka meletakkan ais yang agak banyak dipercayai untuk menyusahkan pihak berkuasa membuat pemeriksaan,” katanya.

Lebih mengejutkan katanya, bot kecil tapi berlesen C2 tersebut turut membawa kira-kira 4,000 liter diesel bernilai RM72,000, melebihi keperluan.

Wan Burhanuddin berkata, pada hari sama, Bot Penggalang 18 diketuai Pegawai Waran II Maritim, Mohd Fauzi Ismail menahan bot nelayan tempatan yang didaftarkan di Kedah pada jam 12.50 tengah hari pada jarak kurang 67.6 batu nautika dari Tok Bali.

“Seramai enam kru warga Thailand berusia dari 33 hingga 54 tahun ditahan dan APMM merampas 1,500 kilogram ikan baja, 1,000 kilogram ikan campur dan 400 kilogram sotong.

“Kes ini merupakan kes pertama membabitkan bot nelayan dari pantai barat semenanjung, kita menyiasat sama ada wujud kemungkinan pengusaha dari Kedah menggunakan bot dari Songkla, Thailand,” katanya.

APMM katanya, mendapat maklumat terdapat kira-kira 20 bot mendapat lesen daripada Kedah tapi beroperasi dari Songkla dan pantai timur semenanjung.

Kes-kes itu katanya, akan disiasat di bawah Akta Pemerdagangan Manusia, Akta Perikanan 1985 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.