Penyelidik USM hasilkan kit pengesan DNA khinzir

GEORGETOWN – Produk hasil penyelidikan Universiti Sains Malaysia (USM) ‘Porcine DNA Detection Kit’ mampu mengesan DNA khinzir dalam daging mentah dan produk daging diproses seperti sosej dan burger.

Lee Li Pin, Prof Tang Thean Hock dan Siti Aminah Ahmed menunjukkan kit pengesan DNA khinzir di dalam daging mentah.

Lee Li Pin, Prof Tang Thean Hock dan Siti Aminah Ahmed menunjukkan kit pengesan DNA khinzir di dalam daging mentah.

Penyelidik dari Institut Perubatan dan Pergigian Termaju USM, Prof Tang Thean Hock berkata produk itu yang kini dalam proses permohonan paten amat sesuai digunakan untuk ujian pensijilan perindustrian halal di Malaysia.

“Harga kit dianggarkan RM500 yang boleh digunakan bagi menguji 50 sampel. Setakat ini terdapat lima syarikat telah menyatakan minat untuk memasarkan kit ini tetapi masih di peringkat perbincangan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Produk itu yang dihasilkan oleh Tang bersama dua lagi penyelidik iaitu Siti Aminah Ahmed dan Lee Li Pin menang pingat emas pada Pameran Reka Cipta Inovasi dan Teknologi Antarabangsa ke-24 yang diadakan di Kuala Lumpur dari 9 hingga 11 Mei lepas.

Tang berkata kit itu mampu menggandakan DNA khinzir dalam satu-satu produk, sekali gus dapat menghasilkan keputusan tepat pada kos lebih murah berbanding penggunaan mesin ‘mass spectrometer’.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia biasanya akan menghantar sampel ke Jabatan Kimia untuk diuji menggunakan mesin ‘mass spectrometer’ yang berasaskan ujian kimia dan kosnya lebih tinggi, katanya.

Menurut Tang, kit yang dihasilkannya adalah berasaskan ujian biologi dan pengekstrakan DNA menggunakan kit itu mengambil masa lebih kurang lapan jam dan tindak balas rantai polymerase (PCR) mengambil masa dua jam 30 minit.

Bagi setiap sampel, ia akan mengambil masa lebih kurang 10 jam 30 minit untuk mendapatkan keputusan, katanya.

Menurutnya sekalipun ada produk serupa di pasaran, kit yang dihasilkannya mempunyai kelebihan iaitu mampu mengesan dan mengamplifikasikan jujukan DNA berulang dalam khinzir, menjadikannya lebih sensitif dan spesifik.

Katanya kit itu juga mempunyai ujian kawalan dalaman sebagai kawalan mutu bagi mendapat keputusan jitu dan tepat serta merupakan produk ‘2 dalam 1’ yang mengandungi kaedah pengekstrakan DNA mudah dan mantap, tidak terdapat dalam kit pesaing. – Bernama

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.