Pengguna internet Sabah pentingkan kandungan

image (3)

KOTA KINABALU –  Pengguna internet di Sabah lebih memberi perhatian terhadap bahan kandungan yang mereka lihat di dalam talian daripada merungut mengenai tiada liputan perkhidmatan atau kualiti liputan yang tidak memuaskan.

Pengarah Kanan Sokongan dan Capaian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Eneng Faridah Iskandar berkata kehendak pengguna internet di Sabah adalah unik berdasarkan pertumbuhan ketara jumlah pengguna internet di negeri ini.

Menurut beliau, 11.9 peratus daripada rakyat Malaysia ialah dari Sabah dan 7.9 peratus daripada keseluruhan pengguna internet di negara ini juga dari negeri ini, yang merupakan satu jumlah yang sangat tinggi.

Perangkaan suruhanjaya itu untuk Sabah pada tahun lepas menunjukkan 223 aduan diterima berkenaan kandungan internet, diikuti jenayah siber sebanyak 86 aduan, manakala liputan perkhidmatan yang tidak memuaskan sebanyak 61 aduan, katanya.

“Saya ingatkan (aduan di Sabah) lebih kepada kualiti liputan kerana keadaan muka bumi dan cabaran dalam menyediakan perkhidmatan, katanya dalam satu temu bual khas dengan Bernama, di sini baru-baru ini.

Eneng Faridah berkata 25 peratus daripada aduan mengenai kandungan adalah mengenai maklumat palsu atau mengelirukan dan 21 peratus mengenai kandungan lucah atau tidak senonoh.

“Malangnya, kandungan seperti ini melambak di internet,” katanya.

Berikutan aduan itu, beliau berkata SKMM akan menekankan bagaimana untuk memperkasakan pengguna bagi melakukan kawalan kendiri selain daripada melindungi mereka dan yang tersayang, terutamanya kanak-kanak daripada terdedah kepada kandungan internet yang tidak diingini itu.

“Kami bimbang orang ramai melihat isu mengenai kandungan dan apabila anda berada dalam talian isu itu boleh menjadi sangat besar.

Potensi untuk teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) serta internet adalah amat penting dan baik, dan adalah memalukan jika penggunaannya hanya dilihat kepada penyalahgunaan media sosial dan masyarakat tidak dapat bergerak ke hadapan, ” katanya. – Bernama

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *