Kerajaan tangguh beli vaksin denggi: Menteri Kesihatan

image

BANGI – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, kerajaan mengambil keputusan untuk menangguh pembelian vaksin denggi yang dihasilkan syarikat swasta, Dengvaxia.

Keputusan itu dibuat berikutan pihaknya masih tidak mempunyai maklumat berhubung keberkesanan vaksin denggi selepas umur 18 tahun.

Seperti yang sedia maklum katanya, ujian ke atas vaksin berkenaan sebelum ia didaftarkan hanya dilakukan ke atas mereka yang berusia antara sembilan hingga 18 tahun.

Namun, kebanyakan kes denggi di negara ini membabitkan mangsa berusia antara 25 hingga 40 tahun.

“Vaksin ini tidak boleh dikatakan satu vaksin yang dapat menunaikan segala keperluan untuk menjadi satu vaksin yang optimum, ada beberapa kekurangan dalam vaksin yang sudah diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Isu lain ialah jika vaksin ini diberi kepada kumpulan yang tidak pernah mendapat jangkitan denggi, ia lebih mendatangkan keburukan berbanding kebaikan.

“Jadi, kita kena berjaga-jaga dalam usaha mendapatkan vaksin walaupun sudah didaftarkan di Singapura dan beberapa negara lain.

“Kerajaan di bawah Biro Farmasi Negara sudah membuat kajian berkaitan dengannya dan kita tidak membatalkan perkara itu, sebaliknya terus ke depan dengan mengambil kira kelemahan sedia ada dalam vaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Dr Abd Latiff Ahmad (BN-Mersing) yang mempertikaikan kelewatan kerajaan membuat keputusan membeli vaksin denggi seperti sudah dilakukan Singapura, Januari lalu.

Sementara itu mengulas kes denggi di negara ini , S.Subramaniam berkata, jumlah kumulatiif kes denggi dilaporkan semakin berkurang.

Kataya, sehingga 29 Oktober lalu, hanya 89,243 kes berbanding 100,665 kes bagi tempoh sama tahun lalu iaitu penurunan 11.3 peratus.

“Jumlah kumulatif kematian denggi sehingga 29 Oktober lalu adalah 202 kematian berbanding 277 kematian bagi tempoh sama tahun lalu, berkurang 75 kematian atau 27.1 peratus.

Pengurangan kes dan kematian ini hasil tindakan bersepadu kementerian, agensi dan komuniti dalam aktiviti pencegahan denggi,” katanya.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *