Jalur lebar berkelajuan tinggi 3 tahun lagi

image

KUALA LUMPUR – Malaysia dijangka dapat mencapai penembusan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun lagi,‎ kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari.

Beliau berkata, setakat ini program HSBB yang dilaksanakan menembusi 31 peratus isi rumah seluruh negara dan pelaksanaan HSBB Fasa 2 dan program jalur lebar pinggir bandar yang sedang dilaksanakan juga bakal memperluas penembusan  perkhidmatan tersebut.

“Dalam tiga tahun, kami akan dapat meningkatkan kadar bandwidth daripada 20 peratus kepada 100 peratus, daripada empat atau lima megabit sesaat kepada 20 megabit sesaat,” kata beliau ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang
Pembekalan 2016 bagi Kementerian itu di Dewan Rakyat, malam tadi.

Beliau juga berkata, 400 menara telekomunikasi telah dibina di seluruh negara tahun ini dalam usaha berterusan kerajaan untuk meningkatkan kualiti telekomunikasi selular.

Enam ratus lagi menara telekomunikasi dijadual dibina secara berperingkat sehingga tahun 2017, katanya.Dalam perkembangan lain, Jailani berkata, setakat ini 1,263 laman sesawang telah disekat kerana melanggar pelbagai peraturan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia.

Katanya kementerian itu juga memperkukuh kerjasama dengan agensi penguat kuasa yang lain dalam usaha pencegahan penggunaan media sosial sebagai platform untuk menyebar maklumat berbaur fitnah, lucah, ataupun berunsur perkauman dan
mengganggu sensitiviti agama.

“Sebagai contoh, jika penyebaran maklumat itu melibatkan hasutan, maka Akta Hasutan akan digunakan oleh PDRM (Polis Diraja Malaysia) dalam penyiasatan dengan bantuan teknikal daripada SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia),” katanya. – Bernama

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *