2 Peragut Telefon Dihukum Penjara 7 Tahun

AMPANG – Padah samun telefon bimbit milik remaja lelaki berusia 13 tahun yang baru pulang daripada tuisyen, dua rakan masing-masing dipenjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Hakim Azrul Darus menjatuhkan hukuman itu terhadap Zulkarnain Hairudin, 23, bekerja sebagai pemasang kabel dan Suhaimi Sanin, 22, pembantu pasar borong.

Kedua-duanya mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah. Azrul kemudian memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara tujuh tahun bermula tarikh ditahan pada 13 dan 14 Jun lalu.

Mengikut pertuduhan, dua tertuduh bersama empat lagi yang masih bebas didakwa melakukan samun ke atas seorang remaja lelaki berusia 13 tahun iaitu telefon bimbit Samsung bernilai RM500.

Insiden berlaku di Jalan Tasek Tambahan, Kampung Tasek Tambahan di sini, jam 9.50 malam, 4 Jun lalu.

Dakwaan kes dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika disabit kesalahan.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan atas alasan mereka adalah penanggung utama keluarga.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie memohon mahkamah mengenakan hukuman pemenjaraan terhadap kedua-dua tertuduh disebabkan mangsa disamun di tepi jalan yang ketika itu dia baru pulang dari pusat tuisyen. – Harian Metro

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *